
KUALA LUMPUR, 14 April – Sebanyak RM180,000 insentif kecemerlangan dianugerahkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai penghargaan terhadap prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, meliputi anugerah Gred Purata Maktab (GPM) terbaik dan Lonjakan Prestasi Terbaik.
- MRSM menguasai lima kedudukan teratas sekolah berasrama penuh, mengukuhkan peranan sebagai peneraju pendidikan berteraskan STEM.
- Pendidikan berasaskan al-Quran ditekankan untuk membina pelajar berjati diri, berakhlak mulia dan sahsiah seimbang.
- Program Ulul Albab berjaya melahirkan pelajar hafaz 30 juzuk dan cemerlang akademik, kini diperluas ke semua MRSM.
MRSM turut mendominasi lima kedudukan teratas sekolah berasrama penuh di Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Gemencheh, MRSM Taiping, MRSM Pengkalan Chepa dan MRSM Kuala Kubu Bharu dinobatkan sebagai MRSM terbaik, manakala 19 buah MRSM mencatatkan GPM di bawah 2.00.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berkata, dalam konteks pendidikan, perkara paling asas yang tidak boleh diabaikan ialah meletakkan orientasi pendidikan berteraskan al-Quran.
“Seperti yang telah dinyatakan, fokusnya bukan sekadar penguasaan bahasa, tetapi juga usaha membina dan mempersiapkan generasi yang mempunyai jati diri kukuh, akhlak dan adab yang tinggi, serta sahsiah cemerlang.
“Dengan asas ini, barulah kita dapat meletakkan harapan bahawa generasi yang dilahirkan bukan sahaja pintar dan berpenampilan baik, tetapi juga
bersifat holistik dan seimbang. Mereka inilah yang mampu menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks dengan penuh keteguhan dan kebijaksanaan,” katanya.
Selain itu, MRSM ATM Bera, MRSM Bagan Datuk dan MRSM Kuala Terengganu terpilih untuk menerima Anugerah Lonjakan Prestasi Terbaik.
Lebih membanggakan, kejayaan MRSM ATM Bera dan MRSM Bagan Datuk dalam meningkatkan GPM masing-masing turut membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan holistik termasuk pelaksanaan program Ulul Albab yang seimbang akademik dan sahsiah.
Datuk Dr Asyraf turut menzahirkan kegembiraan atas kejayaan MRSM yang menjadi hadiah istimewa bersempena ulang tahun ke-60 MARA.
“Pencapaian ini amat membanggakan, khususnya lonjakan prestasi MRSM Ulul Albab yang melahirkan pelajar hafaz 30 juzuk al-Quran serta cemerlang akademik. Justeru, inisiatif yang digerakkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memperluas program Ulul Albab ke semua MRSM merupakan satu keputusan yang tepat,” katanya.