
KUALA LUMPUR, 14 April – Semua pembayaran elaun pelajar tajaan MARA di luar negara (India) telah selesai disalurkan pada Isnin selepas mengalami sedikit kelewatan sebelum ini.
- Kelewatan berpunca daripada isu dokumentasi dan urusan pentadbiran.
- Pihak berkaitan diarahkan mengutamakan kebajikan pelajar dan memastikan pembayaran elaun tepat pada masanya tanpa terhalang birokrasi.
- Tindakan segera diperlukan kerana kelewatan walaupun sehari memberi kesan; MARA beri jaminan perhatian serius dan tidak akan berulang.
Ketika mengulas isu kelewatan pembayaran elaun pelajar yang tular di media sosial, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata elaun berkenaan telah dikreditkan sepenuhnya ke dalam akaun pelajar terlibat.
“Kelewatan tersebut berpunca daripada beberapa isu berkaitan dokumentasi dan urusan pentadbiran. Namun begitu, perkara berkenaan tidak seharusnya menjejaskan kebajikan pelajar, khususnya yang berada di dalam dan luar negara.
“Sehubungan itu, pihak berkaitan telah diarahkan supaya mengutamakan kebajikan pelajar dengan memastikan pembayaran elaun dibuat tepat pada masanya, tanpa dipengaruhi kekangan birokrasi atau dokumentasi.
“Tindakan segera perlu diambil kerana sebarang kelewatan, walaupun hanya sehari, boleh memberi kesan kepada pelajar,” tegas beliau ketika ditanya pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Beliau yang pernah menuntut di luar negara turut memahami kesukaran yang dihadapi pelajar apabila berdepan kelewatan elaun, dan memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan diberi perhatian serius serta tidak akan berulang pada masa hadapan.