
KEMAMAN, 15 April – Penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Teluk Kalong di sini bimbang dengan pencemaran dipercayai tompokan tumpahan minyak di permukaan laut yang mencemari pantai peranginan itu.
- Tompokan minyak sepanjang kira-kira dua kilometer di pesisir menghasilkan bau kurang selesa.
- Nelayan lapor hasil tangkapan semakin berkurangan dan sumber pendapatan terjejas.
- JAS ambil sampel, akan selaraskan pembersihan bersama pejabat daerah dan siasat punca untuk tindakan lanjut.
Penduduk mendakwa, ia mula dikesan kira-kira dua hari lalu yang dipercayai berpunca daripada kapal yang berlabuh di pelabuhan berhampiran pantai berkenaan.
Mereka risau apabila tompokan minyak yang dikatakan semakin serius itu bukan sahaja boleh mengotorkan keindahan pantai berkenaan malah turut
mengancam pelbagai hidupan laut.
Tinjauan di pantai berkenaan mendapati terdapat tompokan minyak sepanjang kira-kira dua kilometer memenuhi kawasan pesisir pantai itu selain menghasilkan bau kurang selesa.
Seorang penduduk yang juga nelayan, Mohammad Hasnan Khalid yang ditemui RTM berkata, masalah yang timbul turut menjejaskan hasil tangkapan ikan semakin berkurangan berbanding sebelum ini.
“Situasi itu memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai mata pencarian utama,” katanya.
Bagi Mohd Noor Ali pula, dia mendakwa keadaan itu turut menjejaskan aktiviti harian mereka serta pengunjung yang datang ke pantai berkenaan untuk beriadah.
“Pencemaran itu turut menjejaskan imej Pantai Teluk Kalong sebagai destinasi pelancongan popular apabila pengunjung semakin berkurangan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azrol Naim Rahim berkata, kehadiran minyak di kawasan gigi air menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung, khususnya yang ingin mandi di pantai berkenaan.
“Keadaan itu berpotensi menyebabkan masalah kesihatan seperti kegatalan kulit, sekali gus menjejaskan keselesaan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad ketika dihubungi memaklumkan, sampel minyak berkenaan telahpun diambil bagi tujuan pengesanan dan analisis.
Menurut Hamzah, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kemaman bagi menyelaras kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di pantai berkenaan mengikut pelan tindakan ditetapkan.
Hamzah berkata, JAS sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab.