Peruntukan khas RM60 juta beri fokus projek perumahan di Terengganu

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 15 April – Peruntukan Khas Pembasmian Kemiskinan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu lawatan kerja ke Terengganu yang bernilai RM60 juta akan difokuskan kepada projek-projek perumahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan terhadap pemantauan dan bantuan kepada keluarga e-Kasih termasuk pembinaan, modal perniagaan, peralatan, pembaikan dan penyelenggaraan rumah.
  • Menyediakan latihan bagi keluarga e-Kasih, khususnya anak-anak, untuk meningkatkan kebolehan dan peluang pekerjaan.
  • Memperkasakan program pendidikan di Terengganu melalui peruntukan disediakan.
  • Pelaksanaan pembasmian kemiskinan dipertingkatkan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara berkesan.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata keutamaan diberikan terhadap bantuan e-Kasih dalam memantau program kemiskinan di negeri itu.

Bantuan Ihsan itu difokuskan kepada keluarga e-Kasih dalam pelbagai bentuk bantuan seperti pembinaan rumah, bantuan modal perniagaan, pemberian peralatan, pembaikian serta penyelenggaraan rumah.

“Kita juga akan melihat sekiranya terdapat keluarga e-Kasih yang memerlukan bantuan latihan, kita akan mengaturnya, terutamanya untuk anak-anak e-Kasih.

“Dalam keadaan ekonomi yang penuh cabaran ketika ini, peluang pekerjaan amat penting. Pada masa sama, insya-Allah program pendidikan akan terus diperkasakan di negeri Terengganu melalui peruntukan yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri mewakili Perdana Menteri kepada dua beradik yang meraih perhatian kerana memberi duit raya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa program pembasmian kemiskinan akan dilaksanakan secara lebih berkesan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan sasar.