
AYER KEROH, 15 April — Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengukuhkan statusnya sebagai institusi teknikal utama negara apabila diiktiraf sebagai universiti awam (UA) paling tinggi kebolehpasaran graduan oleh Talentbank.
- Kecemerlangan bidang Automotif dan penarafan 6-Bintang untuk Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal serta Mekatronik.
- Kurikulum relevan dan kerjasama strategik industri memastikan graduan mahir, holistik dan berdaya saing di peringkat global.
- Diiktiraf sebagai institusi TVET terkemuka dan pilihan majikan untuk pengambilan graduan dalam Komputeran serta Teknologi Maklumat.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan hasil penilaian komprehensif Talentbank yang melibatkan maklum balas daripada 1,200 majikan merentas pelbagai sektor industri.
Selain menduduki kedudukan teratas dalam kalangan UA, UTeM turut melakar pencapaian cemerlang dalam bidang Automotif selepas menduduki tempat pertama.
Kehebatan akademik dan kemahiran teknikal universiti itu turut menyaksikan tiga lagi bidang iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Mekatronik menerima penarafan tertinggi ‘6-Star Employer Choice’.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, pencapaian luar biasa tersebut merupakan manifestasi daripada komitmen berterusan universiti dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi dinamika keperluan industri.
“Kejayaan ini membuktikan kemahiran teknikal dan kualiti graduan UTeM mendapat keyakinan tinggi daripada majikan.
“Kami akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak industri bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir secara teknikal, malah holistik dan berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, UTeM turut diiktiraf sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkemuka bagi kebolehkerjaan siswazah.
Data penilaian turut menunjukkan universiti itu menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan dalam bidang Komputeran serta Teknologi Maklumat (IT).
Pencapaian itu secara tidak langsung meletakkan UTeM sebagai pusat rujukan utama industri bagi mendapatkan tenaga kerja mahir yang kompeten dalam mendepani cabaran ekonomi digital dan teknologi masa kini.
Anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Employer Choice Award anjuran Talentbank yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.