
PUTRAJAYA, 15 April- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyifatkan langkah kerajaan menambah baik bantuan kepada sektor agromakanan termasuk inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan sebagai langkah tepat dan signifikan.
- KPKM menyambut baik penambahbaikan bantuan sektor agromakanan yang membantu mengurangkan beban kos bahan api akibat krisis tenaga global.
- Inisiatif diharap memastikan kelangsungan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan negara di tengah kenaikan kos operasi.
- Kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) dijangka memberi manfaat besar kepada pesawah di seluruh negara.
- Pelonggaran syarat pembelian diesel dan kerjasama antara agensi memudahkan operasi pengusaha agromakanan dan pelaksanaan inisiatif.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan inisiatif berkenaan tepat pada masanya dalam mendepani peningkatan kos susulan krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.
Langkah itu turut membantu meringankan beban kos bahan api yang meningkat serta memastikan kelangsungan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan negara.
“KPKM menyambut baik peningkatan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung,” menurut kenyataan hari ini.
Kementerian itu turut menyambut baik peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah di seluruh negara.
“Kesinambungan insentif penuaian turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras negara,” menurut kenyataan.
Sementara itu, langkah kerajaan melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian disifatkan sebagai pendekatan pragmatik yang memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi dengan lebih efisien tanpa kekangan birokrasi.
“KPKM menyambut baik pendekatan Kerajaan MADANI yang memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan makanan serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan.
KPKM turut memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan berjalan lancar dan mencapai matlamat disasarkan.