MCMC siasat individu sebar berita palsu diesel Filipina

Seorang individu telah dirakam keterangan berhubung penyebaran berita palsu mengenai pembekalan diesel kepada Filipina

KUALA LUMPUR, 15 AprilSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel ke Filipina.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC mengesahkan diesel itu milik syarikat perdagangan Vitol, bukan PETRONAS atau Kerajaan Malaysia.
  • Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk muat naik kandungan palsu telah disita bagi membantu siasatan.
  • Sehingga 14 April, 47 kertas siasatan dibuka berkaitan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga di platform digital.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, denda maksima RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Dalam kenyataan media hari ini, MCMC menegaskan bahawa bahan api tersebut adalah milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik PETRONAS atau Kerajaan Malaysia.

“MCMC telah merakam keterangan individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan diesel ke Filipina. Pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut milik syarikat perdagangan Vitol, dan bukan milik PETRONAS atau Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.

Sehingga 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital susulan konflik di Asia Barat.

Kesemua kes kini dalam siasatan lanjut.

Antara kandungan palsu yang dikesan termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik meningkat, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi kepada warga Singapura serta penghantaran diesel oleh syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegas suruhanjaya itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.