
TUMPAT, 31 Mei – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, di sini pada petang Sabtu.
- Mangsa, 35 tahun dan penganggur, ditemukan ibunya dalam bilik berkunci.
- Pegawai perubatan mengesahkan kematian di tempat kejadian; mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat.
- Bedah siasat gagal tentukan punca kerana mayat mereput; keputusan direkodkan sebagai Unascertained.
- Polis klasifikasikan sebagai mati mengejut; tiada unsur jenayah ditemui; orang ramai diminta hubungi IPD Tumpat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Khairi Shafie dalam kenyataan memaklumkan, laporan berkaitan kejadian itu diterima pada pukul 6.27 petang.
“Mangsa berusia 35 tahun dan merupakan seorang penganggur ditemukan ibunya di dalam bilik yang berkunci dari dalam sebelum pihak polis dan petugas perubatan Hospital Tumpat tiba di lokasi.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.” menurut kenyataan itu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat yang telah mereput dengan keputusan direkodkan sebagai Unascertained (Decomposed Body).
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.