
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pelaksanaan penggunaan biodiesel B15 yang bermula 1 Jun di seluruh Semenanjung Malaysia memperlihatkan fasa penting dalam perjalanan peralihan tenaga di tengah-tengah krisis bekalan global selain memperkukuh sektor tenaga domestik dan menyokong industri sawit negara.
- Mengurangkan kebergantungan terhadap diesel import serta menyokong ekonomi dan industri minyak sawit negara.
- Menerima maklum balas positif kerana mampu mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran dalam sektor pengangkutan.
- Menunjukkan keupayaan teknologi dan infrastruktur tempatan, kebanyakan kenderaan diesel tidak perlukan pengubahsuaian enjin.
Inisiatif itu mendapat maklum balas positif dalam kalangan pengguna yang disifatkan bukan sekadar usaha mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil import malah menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan.
Seorang peniaga, Muhammad Arif Ismail, 44, berkata langkah kerajaan memanfaatkan hasil sawit tempatan merupakan usaha yang tepat dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, sekali gus memperkukuh ekonomi negara.
“Saya menyambut baik pelaksanaan ini, sekiranya ia selamat digunakan pada kenderaan dan tidak menjejaskan prestasi enjin, saya tiada masalah untuk menggunakannya,” katanya ketika ditemui RTM hari ini.
Peniaga, Lai Wai Hong, 45, berkata pelaksanaan penggunaan biodiesel itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import diesel.
“Jika penggunaan biodiesel ini dapat mengurangkan pencemaran dan baik untuk alam sekitar, ia merupakan satu perkembangan yang positif,” katanya.
Peniaga, Aisyah Ahmad Kamaruddin, 36, berkata, inisiatif tersebut menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan teknologi dan infrastruktur yang bersedia untuk menyokong penggunaan tenaga lebih mampan.
“Saya berharap pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu, Malaysia bakal melangkah ke satu lagi fasa penting dalam perjalanan peralihan tenaga di tengah-tengah krisis bekalan global, apabila kadar adunan biodiesel dinaikkan secara berperingkat daripada B10 kepada B15 di seluruh Semenanjung bermula 1 Jun.
Menerusi pelaksanaan itu, B15 akan mengandungi 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, berbanding campuran 10 peratus minyak sawit di bawah mandat B10 yang digunakan ketika ini tanpa perlu pengubahsuaian enjin bagi kebanyakan kenderaan diesel.