
SARAJEVO, 4 Oktober – Bosnia dan Herzegovina mengadakan pilihan raya umum hari ini, dengan kempen politik masih dibayangi perpecahan etnik yang berakar daripada konflik 1992 hingga 1995.
- Pertarungan untuk jawatan Kepresidenan tiga anggota berdasarkan perwakilan Bosniak, Serb dan Croat menjadi tumpuan politik negara.
- Milorad Dodik kekal pengaruh di Republika Srpska, menyokong calon pro-autonomi dan menentang peningkatan kuasa kerajaan pusat.
- Parti Bosniak tuntut kerajaan pusat diperkukuh untuk mendekati EU dan NATO; parti Croat menuntut reformasi bagi perwakilan lebih besar.
Pengundi memilih pelbagai wakil di beberapa peringkat kerajaan menerusi sistem politik kompleks yang diwujudkan selepas Perjanjian Dayton 1995 bagi menamatkan perang.
Tumpuan utama ialah pemilihan anggota Kepresidenan tiga anggota yang mewakili kaum Bosniak, Serb dan Croat.
Persaingan itu turut memperlihatkan pertembungan antara pihak yang mahu memperkukuh kerajaan pusat dengan kem yang mahukan autonomi lebih besar bagi entiti Republika Srpska (RS), selain tuntutan parti Croat untuk perwakilan politik lebih besar.
Aktivis kumpulan protes Karton Revolucija, Adi Selman, berkata tumpuan parti politik terhadap isu perang, ketegangan dan perpecahan terus mengecewakan sebahagian pengundi.
Katanya, pilihan yang ada masih didominasi parti politik yang telah bertapak kira-kira 30 tahun dan menggunakan isu perang serta perpecahan untuk meraih sokongan.
Perjanjian Dayton membahagikan Bosnia dan Herzegovina kepada dua entiti, iaitu RS yang dikuasai Serb dan Persekutuan Bosnia dan Herzegovina yang majoritinya Bosniak-Croat, selain kerajaan pusat dengan kuasa terhad.
Di Banja Luka, ibu negara RS, imej bekas presidennya, Milorad Dodik, masih menghiasi poster dan papan iklan kempen walaupun beliau tidak bertanding dalam pilihan raya.
Dodik sebelum ini disabitkan kesalahan melampaui kuasa dan dilarang memegang jawatan presiden selama enam tahun, namun kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik RS.
Pendirian beliau yang berulang kali menggesa autonomi lebih besar untuk RS turut mencetuskan ketegangan dengan kerajaan pusat.
Penyelidik European Stability Initiative, Adnan Cerimagic, berkata persaingan bagi jawatan presiden RS masih menjadi tumpuan, dengan calon pembangkang Branko Blanusa berdepan calon yang disokong Dodik, Savo Minic.
Beliau berkata penggunaan sistem pengenalan biometrik dan pengimbasan kertas undi di ribuan pusat pengundian turut boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Dalam Persekutuan Bosnia dan Herzegovina, parti-parti Bosniak pula menggesa kerajaan pusat diperkukuh, manakala anggota Kepresidenan daripada Bosniak, Denis Becirovic, berikrar meneruskan usaha membawa negara itu lebih dekat kepada Kesatuan Eropah (EU) dan NATO.
Parti nasionalis Croat turut menuntut reformasi pilihan raya bagi mendapatkan peranan lebih besar dalam pemilihan wakil Croat ke Kepresidenan.
Sementara itu, aktivis alam sekitar, Sara Tusevljak, berkata kebuntuan politik menjadi antara faktor golongan muda meninggalkan Bosnia dan Herzegovina.
Menurutnya, sebahagian anak muda merasakan kerajaan dan kepimpinan negara tidak menawarkan peluang mencukupi untuk mereka terus menetap di Bosnia.
Pusat pengundian dibuka pada 7 pagi waktu tempatan dan ditutup selepas 12 jam.-AFP