
SEPANG, 4 Oktober- Penalti turun lima petak menyaksikan Isack Hadjar terpaksa berundur ke kedudukan petak kelapan, sekali gus mengubah susunan grid Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 selepas sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.
- Max Verstappen kekal di petak utama, Lewis Hamilton bermula di petak kedua.
- Isack Hadjar mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan.
- Kimi Antonelli naik ke petak ketiga, Charles Leclerc akan bermula dari petak keempat.
- Franco Colapinto dihukum 15 petak; Arvid Lindblad dihukum 30 petak, keduanya bermula di belakang grid.
Pelumba Red Bull Racing itu sebelum ini mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan, di belakang rakan sepasukannya, Max Verstappen yang meraih petak utama dan Lewis Hamilton daripada Ferrari di tempat kedua.
Hadjar dikenakan penalti lima petak susulan pertukaran enjin pembakaran dalaman (ICE), menyebabkan Kimi Antonelli daripada Mercedes dinaikkan ke petak ketiga, manakala Charles Leclerc daripada Ferrari akan bermula dari petak keempat.
Lando Norris dan Oscar Piastri masing-masing mengisi petak kelima dan keenam untuk McLaren, manakala George Russell di petak ketujuh.
Hadjar akan bermula dari petak kelapan, diikuti Pierre Gasly dari Alpine di petak kesembilan dan Gabriel Bortoleto daripada Audi di petak ke-10.
Perubahan turut berlaku di bahagian tengah dan belakang grid apabila Liam Lawson akan bermula dari petak ke-11, diikuti Fernando Alonso, Carlos Sainz, Lance Stroll dan Nico Hülkenberg.
Ollie Bearman dan Esteban Ocon masing-masing mengisi petak ke-16 dan ke-17, manakala Alex Albon di petak ke-18.
Dua pelumba Cadillac, Valtteri Bottas dan Sergio Perez, masing-masing akan bermula dari petak ke-19 dan ke-20.
Sementara itu, Franco Colapinto dan Arvid Lindblad akan memulakan perlumbaan dari barisan paling belakang, masing-masing di petak ke-21 dan ke-22.
Colapinto berdepan penalti keseluruhan 15 petak, termasuk penalti lima petak yang dibawa daripada insiden di Baku serta tambahan 10 petak susulan penggunaan unit kuasa baharu.
Lindblad pula dikenakan penalti 30 petak susulan penggunaan elemen unit kuasa tambahan, menyebabkan pelumba Racing Bulls itu bermula di petak terakhir walaupun keputusan kelayakannya sebelum ini lebih baik.
Dengan semua penalti selesai dilaksanakan dan grid kini dimuktamadkan, Verstappen kekal di posisi terbaik untuk memulakan perlumbaan dari petak pertama dengan Hamilton di sebelahnya.
Perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain GP di Malaysia 2026 dijadualkan berlangsung pada pukul 3.00 petang ini di sini.