
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Lebih 1,000 pemimpin mahasiswa dari dalam dan luar negara bakal berhimpun pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
- Platform strategik membentuk generasi pemimpin berwibawa, berintegriti dan berpandangan global.
- Anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Jabatan Pendidikan Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah sebagai peneraju.
- Menampilkan dialog khas dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, pemimpin negara dan tokoh korporat untuk bincang cabaran global.
- Aktiviti termasuk Kuala Lumpur iFUTURE Exploris dan penyampaian resolusi rasmi mahasiswa menggambarkan pandangan serta aspirasi kepimpinan masa depan.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Jabatan Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selaku peneraju dilihat sebagai platform strategik bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa, berintegriti dan berpandangan global.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, program berkenaan memberi ruang kepada pemimpin mahasiswa untuk membincangkan cabaran global, selain memahami realiti semasa dunia dan berinteraksi secara langsung dengan pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan peneraju industri.
“Program iFUTURE 2026 akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, selain menampilkan dialog khas bersama Timbalan Perdana Menteri serta sesi dialog kepimpinan bersama pemimpin negara dari dalam dan luar negara.
“Ini merupakan antara usaha untuk melahirkan modal insan dan bakat yang memahami situasi semasa di peringkat global, di samping memberi pendedahan serta input berkaitan isu-isu semasa,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menerusi iFUTURE 2026, peserta turut dijadualkan menyertai pelbagai aktiviti, termasuk Kuala Lumpur iFUTURE Exploris pada 11 Oktober bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah, warisan dan budaya Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.
Kemuncak iFUTURE 2026 menyaksikan mahasiswa mengemukakan resolusi rasmi yang mencerminkan pandangan serta aspirasi mereka terhadap masa depan kepimpinan berteraskan nilai.
Penganjuran kali ini menghimpunkan mahasiswa dari lebih 50 negara, termasuk dari negara-negara ASEAN, Jepun, China dan Korea.