Lebih 180 rumah rosak dibadai ribut di Padang Terap

Hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan bumbung rumah dan premis perniagaan diterbangkan angin dan sebahagiannya mengalami kerosakan teruk

PADANG TERAP, 14 April – Jumlah rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Felda Lubuk Merbau dan kawasan sekitar di sini pada petang Isnin meningkat kepada 181.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bumbung dan dinding banyak rumah rosak akibat pokok tumbang serta angin kencang.
  • APM dan agensi lain membantu membersihkan bumbung, alihkan pokok tumbang serta menyerahkan Kit Makanan Permulaan.
  • Pusat Pemindahan Sementara dibuka; penduduk disaran buat laporan polis dan daftar dengan JKM bagi bantuan.

Lebih 150 daripadanya di Felda Lubuk Merbau, manakala bakinya di Kampung Baru Tapang, Kampung Berjaya serta Kampung Dusun.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding akibat dihempap pokok yang tumbang dan diterbangkan angin.

APM bersama pelbagai agensi dan jabatan telah menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terjejas, termasuk membersihkan bumbung dan dinding rumah serta mengalihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas.

Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka di Dewan Badminton Felda Lubuk Merbau bagi menempatkan penduduk terjejas.

“Penduduk terjejas disaran segera membuat laporan polis dan mendaftar dengan pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bagi membolehkan pihak kami melengkapkan data jumlah penduduk yang benar-benar terjejas.

“Data-data ini akan membolehkan pihak sekretariat dan JKM menyalurkan bantuan,” katanya kepada RTM selepas meninjau dan menyerahkan Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada penduduk terjejas di Felda Lubuk Merbau.

Menurut beliau, bancian masih dilakukan bagi mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terkesan.

Dalam kejadian pukul 4.00 petang semalam, hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan bumbung rumah dan premis perniagaan diterbangkan angin sejauh beberapa meter dengan sebahagiannya mengalami kerosakan teruk.

Penduduk turut menanggung kerugian apabila perabot dan peralatan elektrik rosak ditimpa hujan.