
ALOR SETAR, 6 April — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas lebih 46 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi dan syabu dianggarkan bernilai lebih RM3.9 juta dalam satu serbuan di Jalan Kota Kuala Muda, dekat Sungai Petani, pada 21 Februari lepas.
- Bekalan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jeti haram untuk pasaran gelap utara Semenanjung.
- Tindakan risikan tiga bulan mengesan sebuah sedan dan pemandu warga asing melompat keluar daripada kenderaan yang masih bergerak lalu melarikan diri.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Pengarah JKDM Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan laut menerusi jeti haram di kawasan berkenaan untuk pasaran gelap di sekitar utara Semenanjung.
Ujar beliau, bertindak atas maklumat risikan selama tiga bulan, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi dan Tanjung Dawai telah mengekori sebuah kereta jenis sedan yang dipandu seorang lelaki warga asing pada pukul 8.30 malam.
“Pasukan telah mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan tersebut, namun suspek enggan memberi kerjasama. Pasukan kemudiannya bertindak memintas dan menahan kenderaan tersebut.
“Suspek bagaimanapun bertindak nekad melompat keluar daripada kenderaan semasa ia masih bergerak dan melarikan diri melalui pintu sebelah kiri bahagian hadapan kenderaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wan Marini menjelaskan hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan beberapa bungkusan beg yang mengandungi 15.72 kg ekstasi dan 30.90 kg syabu di ruang tempat duduk bahagian belakang.
Menurut beliau, rampasan besar itu secara tidak langsung berjaya menghalang bekalan dadah berkenaan daripada sampai ke tangan kira-kira 500,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
Siasatan awal turut mendapati suspek menggunakan kereta sewa untuk menjalankan aktiviti haram tersebut.
Pihak JKDM juga telah memanggil pemilik kereta berkenaan untuk disoal siasat bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.