fb fb fb fb fb

Polis siasat kes kanak-kanak autistik cedera di taska

Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun yang mengalami kecederaan ketika berada di taska / Foto PDRM

SHAH ALAM, 21 Februari – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun yang dipercayai mengalami kecederaan ketika berada di sebuah taska di Seksyen 7, Shah Alam, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 16 Januari daripada ibu mangsa berusia 34 tahun.

“Kejadian itu disedari oleh suami pengadu pada 15 Januari ketika mahu memandikan mangsa dan melihat kesan kemerahan di bahagian belakang badan serta bawah mata kanan kanak-kanak itu,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Iqbal, kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, yang kemudiannya memutuskan kes itu sebagai NFA (No Further Action) kerana tiada keterangan kukuh untuk meneruskannya.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan juga tidak menunjukkan kejadian mangsa dicederakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN