fb fb fb fb fb

Polis tahan suspek kes cabul kanak-kanak di Batang Kali

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial

SHAH ALAM, 21 Februari – Seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid sekitar Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

"Kejadian itu berlaku pada waktu Subuh apabila pengadu membawa dua anaknya ke masjid. Salah seorang daripada anaknya menjadi mangsa seperti yang kelihatan dalam video tular tersebut. Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan menahan suspek berkaitan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.

Menurut Hussein, pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan bahawa suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki memasuki ruang solat muslimat sebelum menghampiri seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bersolat di bahagian belakang jemaah wanita.

Suspek kemudian bertindak memeluk serta mendukung mangsa dalam cubaan membawanya keluar dari kawasan solat tersebut.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN