fb fb fb fb fb

Pistol ditemukan di kilang, 18 individu ditahan

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Kedah

ALOR SETAR, 19 November -Sepucuk pistol bersama kelopak peluru ditemukan dalam dua serbuan berasingan di sebuah asrama pekerja dan premis kilang di Jalan Semeling, minggu lalu.

Seramai 17 pekerja asing serta seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan pertama pada 11 November, 17 pekerja asing warga India, Bangladesh dan Myanmar berusia 21 hingga 53 tahun ditahan.

"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik yang didiami seorang lelaki warga India menemukan satu kotak berwarna biru mengandungi satu kelopak peluru tanpa peluru serta dua kelongsong peluru," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Susulan penemuan itu, serbuan kedua dilakukan dua hari kemudian.

Polis menemukan sebuah beg plastik hijau berisi sepucuk pistol dan satu lagi kelopak peluru tanpa peluru di bahagian belakang sebuah kilang makanan di kawasan sama.

Datuk Adzli berkata, polis percaya senjata itu dibekalkan oleh seorang lelaki tempatan.

“Kita siasat senjata api ini dibekalkan oleh seorang warga tempatan kepada pekerja-pekerja ini dengan alasan untuk menjaga kilang.

Pada 15 November, pukul 8.30 pagi, kita tangkap seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di Langkawi. Kita percaya dia cuba melarikan diri,” ujarnya.

Menurut beliau, suspek tempatan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau, melibatkan kes penipuan, ugutan dan bunuh.

Kes berkaitan senjata api disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Siasatan terhadap 17 pekerja asing pula dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut memaklumkan, kilang pemproses makanan terlibat pernah diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah pada Oktober lalu kerana tidak memiliki sijil halal sah.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN