fb fb fb fb fb

Mahkamah tolak permohonan gali semula kubur pelatih Palapes UiTM

Muhammad Zaidi Abdul Rahman (kanan) dan Azwati @ Azziaton Muhammed Ghalip ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mendengar keputusan permohonan untuk menggali semula kubur Pegawai Palapes UiTM Shah Alam Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 20 November - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan untuk menggali semula kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi.

Bagaimanapun, Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan satu inkues terbuka dijalankan kerana afidavit yang difailkan mengandungi fakta dan dakwaan yang hanya boleh dijelaskan melalui penyempurnaan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, beliau memerintahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah membuka semula siasatan kematian dengan melantik seorang pegawai penyiasat baharu dari Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Roszianayati membuat keputusan itu selepas meneliti notis usul serta afidavit yang difailkan oleh bapa Muhammad Amir Rusyaidi iaitu Muhamad Zaidi Abdul Rahman, 53, dalam permohonan beliau terhadap Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah turut menolak tiga permohonan lain iaitu perintah agar Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pihak berkaitan mengarahkan penggalian semula jasad dan perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat ke atas jasad si mati dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik bebas dan kehadiran peguam.

Turut ditolak ialah permohonan untuk mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu mengeluarkan laporan bedah siasat dalam tempoh sebulan dari tarikh ia dijalankan, dan satu salinan laporan tersebut diberikan kepada peguam.

Roszianayati, ketika membacakan alasan penghakiman ringkasnya, berkata aduan utama dalam permohonan itu ialah punca kematian Muhammad Amir Rusyaidi.

Beliau berkata berdasarkan penelitian, puncanya telah dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan oleh doktor Hospital Shah Alam yang telah mengeluarkan afidavit serta mengesahkan sebab kematian ialah akibat strok haba yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Hakim itu berkata mangsa telah dibawa ke hospital pada 10 Nov dan meninggal dunia pada 13 Nov 2024 manakala hasil pelbagai pemeriksaan dan ujian klinikal yang dijalankan menunjukkan Muhammad Amir Rusyaidi meninggal dunia dalam keadaan dinyahhidratkan dengan teruk sehingga melibatkan organ dalaman lain.

Beliau berkata doktor juga menyatakan bahawa tiada sebarang kecederaan fizikal lain ditemukan kecuali kesan merah di lutut namun ia tidak menjurus kepada kematiannya.

Roszianayati berkata beberapa saksi termasuk jurulatih pada hari kejadian juga telah mengesahkan bahawa Muhammad Amir Rusyaidi bersama rakan-rakannya menjalani latihan Palapes yang agresif sejak 9 Nov 2024, dan ini mengesahkan punca kematiannya seperti yang telah dinyatakan oleh pihak doktor.

"Justeru, tiada keperluan jasad si mati digali dan bedah siasat dijalankan kerana sebab kematian telah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, yang menjadi pertikaian adalah cara Muhammad Amir Rusyaidi meninggal dunia dan sama ada kematiannya telah berlaku disebabkan, atau dipercepat oleh sebarang perbuatan atau kecuaian oleh mana-mana pihak lain. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN