fb fb fb fb fb

Polis Kedah siasat kewujudan ejen, rumah transit migran di Langkawi

Datuk Adzli Abu Shah, Ketua Polis Kedah / BERNAMA

ALOR SETAR, 19 November -Polis Kedah menjalankan siasatan terperinci berhubung kemungkinan wujud ejen serta rumah transit yang digunakan untuk menyeludup migran masuk ke negara ini melalui perairan Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, maklumat itu diperoleh hasil tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi sebelum ini.

"Berdasarkan insiden terbaharu, migran dipercayai mendarat di kawasan utara Langkawi, termasuk sekitar Teluk Ewa dan Teluk Datai, yang menjadi lokasi paling dekat dengan laluan bot mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Datuk Adzli memaklumkan, sindiket dipercayai menyediakan rumah transit bagi menempatkan migran selama beberapa hari sebelum mereka bergerak ke Jeti Kuah.

Menurut beliau, sebahagian migran yang terlepas masuk menggunakan laluan domestik di Jeti Kuah untuk ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis, manakala laluan darat pula melibatkan “jalan tikus” di sempadan Malaysia–Thailand di Kedah dan Perlis.

“Ejen dipercayai menerima upah daripada sindiket mengikut tahap kesukaran menyeludup migran,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa 111 kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 sejak tahun 2021.

Daripada jumlah itu, polis menahan 1,083 individu, membabitkan majoriti warga Myanmar seramai 918 orang.

Tangkapan lain membabitkan warga Indonesia (32), Thailand (9), India (8) dan Bangladesh (1), selain 113 rakyat Malaysia disyaki menjadi dalang sindiket.

Dalam tempoh sama, 71 tekong warga asing turut diberkas terdiri daripada 51 warga Myanmar, Thailand (16), Kemboja (2), Bangladesh (1) dan Indonesia (1).

Daripada keseluruhan kertas siasatan tersebut, 91 kes telah dituduh di mahkamah, manakala lima kes masih dalam siasatan dan selebihnya tiada tindakan lanjut.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN