SHAH ALAM, 21 Februari – Polis Selangor berjaya membongkar sebuah makmal pemprosesan cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9.9 juta.
Serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sekitar Serdang itu membawa kepada penahanan tujuh individu, terdiri daripada seorang wanita tempatan, seorang lelaki tempatan, serta lima lelaki warganegara asing berusia antara 21 hingga 37 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyifatkan tangkapan tersebut sebagai kejayaan terbesar polis negeri dalam membongkar sindiket dadah yang menggunakan cecair rokok elektronik sebagai medium penyeludupan.
"Kita tak pernah rampas sejumlah sebanyak ini, dan ini membuktikan memang ada sindiket yang mencampurkan dadah dalam rokok elektronik. Mereka mempunyai tempat khas untuk memproses dan membungkusnya dalam kotak yang kelihatan sama seperti rokok elektronik biasa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hingga tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Dalam operasi yang dijalankan dari 17 hingga 19 Februari lalu, polis berjaya merampas 33,079 kotak katrij berisi cecair rokok elektronik dengan anggaran isipadu 133,132 mililiter.
Turut dirampas, 43 tong botol berisi cecair kimia serta pelbagai peralatan memproses dan membungkus cecair rokok elektronik, yang dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 33,000 pengguna.