
KUALA LUMPUR, 19 Mac– Malaysia dan India sepakat menyeru penghentian segera pertempuran di Asia Barat susulan perkembangan konflik yang semakin meruncing, khususnya dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan.
- Perdana Menteri Anwar menghubungi rakan sejawat India Narendra Modi untuk membincangkan situasi semasa di Asia Barat.
- Malaysia mengutuk pengeboman dan pembantaian Israel terhadap Iran yang didakwa mendapat sokongan Amerika Syarikat.
- Kedua-dua negara bersetuju menggembleng usaha mempromosi suara damai melalui diplomasi dan dialog yang sihat.
- Malaysia dan India setuju memperkukuh suara kolektif di PBB dan BRICS serta kerjasama menangani cabaran ekonomi dan keterjaminan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, lewat petang tadi bagi membincangkan situasi semasa di rantau berkenaan.
Dalam perbincangan itu, beliau menegaskan pendirian Malaysia dalam mengutuk tindakan pengeboman dan pembantaian Israel terhadap Iran yang didakwa didukung oleh Amerika Syarikat (AS).
“Kami sepakat untuk menggembleng usaha ke arah menjunjung suara damai melalui diplomasi dan dialog yang sihat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook .
Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.
Tambah beliau, kerjasama erat antara Malaysia dan India menjadi semakin penting dalam suasana ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk implikasi terhadap aspek keterjaminan makanan.
“Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.