fb fb fb fb fb

Bekerja tanpa gaji, 61 pekerja asing dan tempatan diselamatkan

Pekerja asing yang diselamatkan tidak dibayar gaji sejak Disember tahun lepas sehingga terpaksa berhutang dengan kedai runcit berdekatan untuk meneruskan hidup.

BATU GAJAH, 8 Mei - 61 pekerja terdiri daripada 55 pekerja asing dan enam warga tempatan diselamatkan dalam Op Pintas Mega Pemerdagangan orang di sebuah kilang perabot di Lahat, Ipoh hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan aduan penduduk setempat yang sering mendengar keluhan mangsa tidak dibayar gaji dan terpaksa berhutang untuk mendapatkan keperluan harian.

Kesemua pekerja asing itu berumur lingkungan 19 hingga 45 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal manakala enam pekerja tempatan berusia 35 hingga 60 tahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan itu merupakan lelaki manakala enam pekerja tempatan itu pula terdiri daripada tiga lelaki serta tiga wanita dewasa," katanya.

Tambahnya lagi, kesemua mangsa akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak  untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan  ke rumah perlindungan di Tanjung Kling di Melaka sementara menunggu proses siasatan selesai.

Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dipercayai majikan dan pengarah urusan syarikat terbabit.

Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN