fb fb fb fb fb

Seludup syabu: Lelaki 20 tahun diberkas di Lapangan Terbang Miri

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM380,000 dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 10,681 penagih.

MIRI, 8 Mei - Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup masuk dadah dipercayai syabu seberat 10.5 kilogram (kg) berjaya digagalkan pihak polis dalam satu serbuan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari pedalaman itu ditahan sebaik sahaja mengambil sebuah kotak di ruang tuntutan bagasi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak berkenaan mengandungi 10 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di bawah lapisan bungkusan makanan ringan,” katanya .

Polis turut merampas 120 pod vape yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 986 gram dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM380,000.

Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penganggur dipercayai ke Kuala Lumpur untuk mengambil bungkusan berkenaan.

“Ini bukan kali pertama suspek membawa bungkusan seumpama ini. Jumlah dadah yang dirampas kali ini boleh digunakan kira-kira 10,681 penagih,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN