fb fb fb fb fb

Mamat Exist mengaku tidak bersalah dakwaan ambil dadah

Mamat Exist, 45, di pekarangan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 23 Januari- Bekas penyanyi kumpulan Exist, Mohamad Ali Kamaruddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan memberi kepada diri sendiri dadah jenis syabu dalam kejadian di sini pada September 2019.

Pengakuan Mohamad Ali atau lebih dikenali sebagai Mamat, 45, dilakukan di hadapan Majistret Hidayatul Syahida Shamsuddin.

Mengikut pertuduhan, Mamat juga mempunyai kesalahan dadah lampau berulang pada 2016 dan 2018.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuraqilah Ahmad Rofaie, mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara di Mahkamah Sesyen, Mamat turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 0.17 gram syabu di Taman Perling, sini, pada 2019.

Pengakuan dibuat dihadapan Hakim Fatimah Zahari, dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua kes akan disebut semula pada 22 Februari ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA