AKPS sita 83 tan lemak haiwan bernilai lebih RM310,000 tanpa permit import

83 tan lemak haiwan bernilai lebih RM310,000 ditemukan dalam kontena tanpa permit import./ AKPS

JOHOR BAHRU, 10 Oktober – Sebanyak 83,000 kilogram lemak haiwan bernilai RM310,606.26 disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pelabuhan Pasir Gudang selepas komoditi berkenaan dikesan dibawa masuk tanpa permit import.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS menahan konsainan lemak haiwan kerana dibawa masuk tanpa permit import.
  • Konsainan ditempatkan dalam beg flexitank dan dilabel dengan negara asal Mongolia.
  • Kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
  • Jika disabit, denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun; bagi kesalahan berikutnya denda sehingga RM150,000 atau penjara tujuh tahun.

Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi semalam, hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa AKPS di CIB Inspection Bay, Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan, konsainan berkenaan mengandungi lemak haiwan yang dikenali sebagai Inedible Tallow Oil, seberat 83,000 kilogram dan ditempatkan dalam empat beg flexitank, dengan tertera nama negara asal Mongolia.

Pemeriksaan mendapati barangan itu dibawa masuk tanpa permit import mengikut peraturan undang-undang semasa, sekali gus menyebabkan keseluruhan konsainan ditahan untuk siasatan lanjut.

“AKPS ingin mengingatkan mana-mana pihak bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan atau cubaan mengimport tanpa dokumen yang sah mengikut peruntukan undang-undang di pintu masuk negara,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan, kesalahan berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM150,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

AKPS turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang dibawa masuk mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.