
KRUBONG, 10 Oktober – Individu yang didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap agama Islam dan al-Quran, termasuk memperlekeh penggunaan ayat al-Quran ketika pembentangan Belanjawan 2027, telah dikenal pasti.
- Individu yang didakwa memuat naik hantaran menghina Islam dan al-Quran telah dikenal pasti.
- Beberapa laporan polis dibuat; tindakan lanjut dan kemungkinan dibawa ke mahkamah bergantung kepada pertimbangan pendakwa raya.
- Fahmi mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan kandungan sensitif berkaitan agama, raja dan kaum serta segera melaporkan hantaran 3R.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan individu berkenaan untuk dirakam percakapan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat berhubung hantaran berkenaan.
“Pihak polis dan juga MCMC sedang mengesan individu tersebut, dan beliau akan dirakam percakapan.
“Saya difahamkan, ada sejumlah laporan polis yang telah dibuat ke atas individu tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Tahun 2026 bersama-sama Komuniti Paya Rumput@Tangga Batu anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, hari ini.
Menurutnya, tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan membawa kes berkenaan ke mahkamah, bergantung kepada pertimbangan pihak pendakwa raya.
Hantaran itu turut dikaitkan dengan penggunaan perkataan liqa’ yang merujuk kepada hari kemudian atau akhirat, seperti yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, raja dan kaum (3R).
Beliau turut menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima atau menemui hantaran berunsur 3R di media sosial.