
KUALA LUMPUR, 4 November – Pelaburan Google bernilai AS$15 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pelaburan, selain menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.
- Pelaburan merangkumi peluasan infrastruktur digital termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan untuk menyokong perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.
- Komitmen turut meliputi inisiatif kelestarian air melalui pembinaan takungan dan loji rawatan; pemilikan akan diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai aset awam.
- Google mensasarkan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan menjelang 2031 dan memperluas kerjasama dengan lebih daripada 80 entiti tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan berskala besar itu membuktikan keyakinan syarikat teknologi global terhadap potensi Malaysia, selain memperkukuh kedudukan negara dalam landskap ekonomi digital dan revolusi kecerdasan buatan (AI) dunia.
Beliau menegaskan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, malah berperanan dalam pembangunan infrastruktur berteknologi tinggi serta meningkatkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap keupayaan negara.
“Pelaburan langsung asing amat penting kepada dinamisme ekonomi Malaysia. Aliran masuk modal dalam skala sebegini besar menyediakan sumber penting untuk pengembangan ekonomi makro.
“Ia bukan sahaja membangunkan aset fizikal berteknologi canggih, malah mencerminkan keyakinan terhadap Malaysia di peringkat global serta mengukuhkan kedudukan negara di barisan hadapan revolusi kecerdasan buatan dunia,” katanya ketika berucap pada program Google Mantap Malaysia Bersama AI 2026 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Pelaburan berkenaan merangkumi peluasan infrastruktur digital, termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.
Selain pembangunan infrastruktur digital, komitmen Google turut meliputi aspek kelestarian sumber alam, khususnya menerusi pembangunan infrastruktur bekalan air di Negeri Sembilan.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan takungan air luar sungai dan loji rawatan air yang berkeupayaan membekalkan 65 juta liter air terawat sehari.
Kemudahan itu dijangka membantu mengurangkan risiko banjir ketika musim monsun, memastikan bekalan simpanan air mencukupi ketika musim kemarau serta memperluas akses penduduk setempat kepada bekalan air bersih.
Datuk Seri Anwar berkata, pemilikan projek berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan negeri selepas siap sepenuhnya untuk dijadikan aset awam jangka panjang.
“Apabila siap sepenuhnya, pemilikan projek akan diserahkan terus kepada kerajaan negeri untuk dijadikan aset awam kekal. Pelaburan anda mencerminkan aspirasi, menghargai sumber asli negara serta menaruh keyakinan terhadap keupayaan rakyat kami,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian sumber air, Google turut mengumumkan inisiatif penambahan semula sumber air yang melibatkan lembangan Sungai Buloh dan Sungai Selangor, selain penubuhan pusat daya tahan air berasaskan sekolah di Selangor.
Kerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut dijalinkan bagi meningkatkan kualiti air serta memulihara biodiversiti di Tasik Taman Aman.
Sementara itu, Google menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031 bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai keupayaan memenuhi keperluan industri teknologi tinggi dan AI.
Syarikat itu turut memperluas kerjasama dengan lebih 80 entiti tempatan merangkumi sektor pembinaan, kejuruteraan awam, infrastruktur rangkaian, sistem kuasa dan penyejukan serta perkhidmatan sokongan.
Dalam aspek tenaga bersih, pelaburan berkenaan turut menyokong penambahan kapasiti melebihi satu gigawatt kepada Grid Nasional menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Datuk Seri Anwar berkata, pendekatan itu mencerminkan kepentingan memastikan kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi turut disertai manfaat kepada masyarakat serta pengurusan sumber alam secara bertanggungjawab, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Kerajaan, katanya, akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan negara bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberikan pulangan jangka panjang kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.