
JOHOR, 4 November – Seramai 1,781 anggota dan pegawai polis di Johor akan bertugas di lokasi strategik seluruh negeri semasa perayaan Deepavali bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.
- Op Cahaya dilaksanakan mulai 7 hingga 9 November untuk memantau keselamatan semasa perayaan Deepavali.
- Operasi dijalankan di kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, kuil Hindu, lebuh raya utama dan pintu masuk antarabangsa.
- Orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol apabila meninggalkan kediaman untuk balik kampung.
- Penggunaan VSP meningkat, dengan peningkatan 869 maklumat, namun rekod negeri masih rendah berbanding jumlah penduduk.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penugasan dijalankan menerusi Op Cahaya bermula 7 hingga 9 November.
“Operasi dijalankan di kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, kuil hindu, lebuh raya utama serta pintu masuk antarabangsa,” katanya.
Datuk Ab Rahaman turut menyeru orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), ketika meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung.
“Berdasarkan statistik pada Januari hingga Oktober tahun ini, penggunaan VSP bagi mereka yang balik kampung mencatatkan sebanyak 5,294 maklumat yang disalurkan kepada pihak polis meliputi mereka yang nak balik kampung dan meninggalkan kediaman.
Jika kita bandingkan antara Januari hingga Oktober 2025, 4,425 maklumat disalurkan, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 869 maklumat,” ujarnya.
Beliau berkata rekod VSP negeri itu dilihat masih rendah kerana terdapat jurang bilangan penggunaan sistem itu dengan jumlah penduduk dalam negeri.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Walkabout di Bandaraya Johor Bahru.
Dalam pada itu, pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik di laluan utama khususnya di Lebuhraya Utara Selatan semasa Deepavali.