
KANGAR, 4 November – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer tidak perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Wan Badariah Wan Saad pada Sabtu lepas.
- Speaker: keputusan dibuat kerana penggal DUN Perlis telah melepasi tempoh mandat tiga tahun.
- Kekosongan luar jangka tidak menjejaskan kedudukan parti pembentuk majoriti kerajaan negeri.
- ADUN Perlis kini 11 orang: lima PAS, lima Bersatu dan seorang PH dari PKR; tiada ADUN menarik sokongan.
- Speaker telah menyerahkan pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi kepada SPR Negeri Perlis.
Menurut Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata keputusan itu dibuat memandangkan penggal DUN Perlis telah melepasi tempoh mandat tiga tahun.
“Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis ke-15 telah berlangsung pada 19 Disember 2022, sekali gus tempoh tiga tahun penggal berkenaan telah genap pada 18 Disember 2025 lalu,” jelasnya.
Tambah beliau, kekosongan luar jangka itu sama sekali tidak menjejaskan kedudukan parti yang membentuk majoriti dalam kerajaan negeri ketika ini.
Ketika ini, ADUN Perlis terdapat 11 orang terdiri daripada lima mewakili PAS, lima mewakili Bersatu dan seorang Pakatan Harapan (PH) daripada PKR.
Sehingga hari ini, tiada mana-mana ADUN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa di bawah kepimpinan Menteri Besar yang ada.
Dalam perkembangan berkaitan, Rus’sele memaklumkan telah menyerahkan pemakluman rasmi berhubung kekosongan luar jangka kerusi berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis hari ini.
Wan Badariah, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pada pukul 4.26 petang, Sabtu lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Wan Badariah daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 4,419 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Siti Berenee Yahaya dan Amran Kamarudin daripada PH dengan majoriti 2,021 undi.