
PUTRAJAYA, 10 Oktober – Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil tindakan bersama-sama pihak berkuasa berhubung penularan beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
- Rakaman video didakwa memaparkan individu Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
- Rakaman dikaitkan dengan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.
- Tindakan sewajarnya diambil bersama pihak berkuasa untuk penelitian, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
- Kerajaan tegas memelihara kesucian akidah umat Islam; segala tindakan berasaskan fakta hasil siasatan demi keadilan dan keharmonian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya mengambil maklum rakaman berkenaan turut dikaitkan dengan perlakuan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.
“Tindakan sewajarnya sedang diambil bersama-sama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian, siasatan dan tindakan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan tegas dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.
“Sebarang tindakan akan berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat,” katanya. – BERNAMA