
MELAKA, 10 Oktober – Kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 disambut baik, khususnya dalam kalangan pekerja dalam memenuhi keperluan harian dan meningkatkan kesejahteraan hidup.
- Kenaikan gaji minimum disambut baik kerana membantu menampung keperluan harian dan meningkatkan kesejahteraan hidup pekerja.
- Pekerja hargai keprihatinan kerajaan, namun mahu kawalan harga barang supaya manfaat kenaikan gaji dinikmati sepenuhnya.
- Langkah itu memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja dan membantu merapatkan jurang antara produktiviti dan gaji.
Pelarasan itu bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan harian, malah seiring dengan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan manfaat kenaikan gaji dapat dinikmati sepenuhnya.
Bagi Usama Hamzah, kenaikan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Saya berasa gembira kerana kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat menerusi kenaikan gaji minimum ini. Langkah tersebut dapat membantu meringankan kos sara hidup.
“Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memastikan kenaikan harga barang terkawal dan tidak melampau supaya manfaat kenaikan gaji ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, Alif Naufal Mustafa Kamal Iskandar berkata kenaikan gaji minimum berkenaan dapat membantu pekerja mengurus perbelanjaan harian serta menampung keperluan diri dan keluarga.
“Alhamdulillah, saya berasa amat gembira dan berpuas hati dengan pengumuman kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000. Kenaikan ini secara tidak langsung dapat membantu menampung kos sara hidup serta perbelanjaan diri dan keluarga,” katanya.
Seorang lagi pekerja, Puteri Insyirah Subin, turut menyambut baik pengumuman itu kerana sebahagian besar pendapatan bulanan perlu diperuntukkan untuk membayar komitmen kewangan.
“Saya berasa berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum ini kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ramai yang perlu menggunakan pendapatan bulanan untuk membayar komitmen dan perbelanjaan tetap setiap bulan,” katanya.
Pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 yang memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha merapatkan jurang antara produktiviti dengan gaji pekerja.