
KUANTAN, 10 Oktober – Pelbagai inisiatif disediakan kepada warga emas dalam Belanjawan 2027, termasuk pelepasan cukai kepada rakyat Malaysia yang menanggung kos penjagaan ibu bapa dan datuk nenek.
- Pengurangan cukai perkhidmatan untuk penjagaan warga emas dan penyediaan kemudahan baharu bagi memperluas akses kepada perkhidmatan.
- Peluang latihan kepada 8,000 individu dalam bidang penjagaan warga emas untuk meningkatkan kapasiti penjaga.
- Peruntukan RM1.3 bilion untuk Bantuan Warga Emas dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
- Kenaikan pencen minimum kepada RM1,350 sebulan, memberi manfaat kepada hampir 59,000 penerima.
Pengurangan cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan penjagaan warga emas serta penyediaan kemudahan baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai usaha memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan.
Bagi pesara guru, Monalita Mat Nih, usaha kerajaan itu disambut baik dengan menyediakan peluang latihan kepada 8,000 individu dalam bidang penjagaan warga emas.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan menyediakan peluang latihan kepada 8,000 individu dalam bidang penjagaan warga emas.
“Saya berharap golongan muda dapat memupuk sifat penyayang, sabar dan ikhlas ketika menjaga warga emas supaya golongan itu berasa lebih dihargai dan mendapat penjagaan yang sewajarnya,” katanya.
Pengurus butik, Zaliman Jusoh pula berkata, perkhidmatan penjagaan warga emas amat penting, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga untuk memberikan penjagaan sepanjang masa.
“Perkhidmatan penjagaan warga emas amat penting, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga untuk menjaga mereka sepanjang masa. Saya berharap bantuan yang diumumkan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Menurut Mohamad Rizal Abdullah, kos penjagaan warga emas sebelum ini agak tinggi dengan pengurangan berkenaan dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga yang memerlukan perkhidmatan itu.
“Pengurangan kos penjagaan warga emas ini sememangnya amat membantu. Berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika menjaga ibu, kos penjagaan sebelum ini agak tinggi.
“Oleh itu, pengurangan kadar daripada lapan peratus kepada enam peratus dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang memerlukan perkhidmatan berkenaan,” katanya.
Pada Jumaat Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi Bantuan Warga Emas yang dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
Pengumuman itu merupakan usaha berterusan dalam memperkukuh perlindungan dan penjagaan golongan itu.
Dalam pada itu kumpulan pesara perkhidmatan awam, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan menerima manfaat kenaikan bayaran pencen minimum kepada RM1,350 sebulan berbanding RM1,000 sebelum ini.
Pengumuman itu sekali gus memberi manfaat kepada hampir 59,000 penerima.