Belanjawan 2027: Nelayan hargai bantuan kerajaan

Foto BERNAMA

BACHOK, 10 Oktober – Nelayan tradisional menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penambahan sasaran pemegang lesen sampan khas kepada 20,000 individu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelesenan diperluas meningkatkan keselamatan dan menjamin kelangsungan aktiviti penangkapan ikan.
  • Kelonggaran untuk nelayan tanpa lesen; lesen memberi perlindungan insurans dan akses subsidi minyak.
  • Nelayan menghargai bantuan sedia ada dan berharap kerajaan mengekalkan serta memperbaiki sokongan.
  • Kerajaan mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi program lesen sampan khas, membantu golongan nelayan.

Pengumuman itu dapat memperluas manfaat pelesenan, meningkatkan keselamatan ketika turun ke laut serta menjamin kelangsungan aktiviti penangkapan ikan.

Nelayan, Mohd Saufi Teh yang ditemui RTM berkata, pengumuman peningkatan pemegang lesen memberi kelegaan kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen dan terpaksa turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Jika boleh, kami mahu lebih ramai memiliki lesen tersebut dengan kadar segera. Dengan adanya lesen tersebut, nelayan seperti kami lebih terjamin.

“Dari segi insurans semua lengkap. Sekiranya kami ingin keluar tanpa lesen ini ia akan memberi masalah seperti subsidi minyak. Jika kami memiliki lesen, harga subsidi minyak pada RM1.65,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Zulkifli Abdul Hamid berkata, pengumuman kerajaan mengekalkan segala bantuan yang telah diberikan dapat melegakan para nelayan.

“Alhamdulillah, bantuan yang diberikan kerajaan selama ini sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan harian kami.

“Saya berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan bantuan sedia ada sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan nelayan. Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan,” katanya.

Bagi Razak Sulaiman, bantuan sedia diharap dapat dikekalkan, malah ditambah baik dalam usaha membantu nelayan menampung keperluan harian.

“Saya berharap bantuan yang diberikan sebelum ini dapat dikekalkan. Jika ada ruang untuk ditambah, itu lebih baik.

“Namun sekiranya dikekalkan pada kadar sedia ada pun, kami tetap bersyukur kerana bantuan itu dapat membantu menampung perbelanjaan harian hasil daripada kerja sebagai nelayan,” katanya.

Pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta dalam Belanjawan 2027 bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.