Kenaikan bantuan persekolahan ringankan perbelanjaan keluarga

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 10 Oktober – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 memberi kelegaan kepada keluarga yang memiliki sekurang-kurangnya empat orang anak yang masih bersekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa dan penjaga bersyukur kepada Perdana Menteri atas pengumuman kenaikan bantuan dalam Belanjawan 2027.
  • Bantuan itu meringankan beban keluarga membeli kelengkapan sekolah seperti alat tulis, pakaian dan membayar yuran.
  • Keluarga berpendapatan rendah dan yang mempunyai ramai anak dan cucu merasakan kelegaan daripada sokongan itu.
  • Pengumuman itu disambut baik di pelbagai kawasan, membantu persediaan untuk sesi persekolahan 2027.

Menerusi tinjauan yang dilakukan RTM, ibu bapa dan penjaga yang ditemui meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman itu dalam Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Bagi Rina Mat Ali, bantuan itu amat bermakna, terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak dan cucu yang masih bersekolah.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri atas kenaikan bantuan persekolahan itu. Bantuan ini sangat baik kerana dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak seperti alat tulis,” katanya.

Penjawat awam, Khairulazha Johari, berkata kenaikan bantuan persekolahan daripada RM150 kepada RM200 dapat menampung keperluan persekolahan empat orang anaknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kenaikan bantuan persekolahan ini dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya untuk keperluan empat orang anak saya.

“Peningkatan bantuan daripada RM150 kepada RM200 itu dapat membantu menampung kos pembelian buku dan kelengkapan sekolah mereka,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nor Fazilah Manan, berkata bantuan tersebut dapat menampung sebahagian perbelanjaan persekolahan, termasuk pembelian pakaian dan pembayaran yuran.

“Bantuan ini dapat menambah perbelanjaan untuk membeli pakaian sekolah, membayar yuran dan keperluan lain yang berkaitan. Walaupun yuran persekolahan turut meningkat, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga,” katanya.

Roziah Abdullah, turut melahirkan rasa syukur atas kenaikan bantuan berkenaan, terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.

“Saya sebagai ibu dan nenek berasa sangat gembira dengan kenaikan bantuan persekolahan ini. Maklumlah, harga barang sekarang semakin meningkat.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu meringankan beban keluarga, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah. Alhamdulillah, saya bersyukur,” katanya.

Che Mie Kasim pula menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna kerana dapat digunakan untuk menampung keperluan persekolahan cucu-cucunya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan beban keluarga. Jika empat orang cucu menerima bantuan, jumlahnya sudah mencecah RM800.

“Bantuan ini amat bermakna dan akan digunakan untuk menampung keperluan persekolahan cucu-cucu saya,” katanya.

Di Langkawi, rata-rata ibu bapa yang ditemui menyambut baik pengumuman itu dalam Belanjawan2027, yang bertemakan ‘Menggapai Di Langit Serta Mengakar di Bumi’.

Menurut Zulhilmi Zainol, bantuan tersebut meringankan perbelanjaan sebagai persediaan sesi persekolahan 2027 bagi tiga orang anaknya.

“Kami sebagai ibu bapa bersyukur dengan kenaikan bantuan ini kerana dapat meringankan beban perbelanjaan untuk persiapan persekolahan anak-anak, khususnya bagi keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak,” katanya.

Penjawat awam, Mohamad Fua’adimahmud beerpendapat, tambahan RM50 itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.

“Dengan tambahan bantuan sebanyak RM50 ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak. Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini,” katanya.

Ketua Kampung Mata Ayer Hamdan Ahmad pula berkata, bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli beg dan pakaian sekolah bagi menyuntik motivasi anak-anak.

“Bantuan sebanyak RM200 ini amat membantu, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak bersekolah. Saya bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana kenaikan ini dapat meringankan beban ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Helang FC, Ramli Ahmad, berkata peningkatan bantuan berkenaan membawa makna besar kepada ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan bagi sesi 2027.

“Kenaikan bantuan daripada RM150 kepada RM200, iaitu tambahan RM50, merupakan satu bantuan yang besar maknanya kepada ibu bapa untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak bagi sesi 2027,” katanya.

Pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027, sekali gus memanfaatkan kira-kira 5.3 juta murid dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.