Johor sasar 100,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang 2030

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 10 Oktober – Sebanyak 25,791 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) siap dibina dengan harga serendah RM42,000 sehingga RM300, 000 bagi tempoh 2022 hingga suku ketiga tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri tambah 70,000 unit RMMJ untuk capai sasaran 100,000 unit menjelang 2030.
  • Program Rumah Percuma Bangsa Johor diteruskan bagi rakyat berpendapatan RM850 ke bawah.
  • Belanjawan Johor 2027 sediakan kira-kira RM300 juta untuk teruskan bantuan perumahan dan penyelenggaraan rumah awam.

Baki 4,209 unit disasarkan siap pada suku keempat, bagi mencapai sasaran 30,000 unit dalam tempoh 2022 hingga 2026.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha berkenaan akan diteruskan dengan tambahan 70,000 unit bagi melengkapkan sasaran 100,000 unit RMMJ, menjelang tahun 2030.

“Inisiatif ini melibatkan seluruh daerah di Johor. Pada masa sama, program Rumah Percuma Bangsa Johor untuk rakyat berpendapatan RM850 ke bawah akan diteruskan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga merancang menawarkan 1,000 unit rumah kepada golongan muda Johor berusia bawah 40 tahun pada tahun hadapan, yang akan diumumkan oleh Menteri Besar Johor, insya-Allah,” katanya semasa Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 6 di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini.

Dalam pada itu, agenda perumahan rakyat akan terus diperkasa menerusi Belanjawan Johor 2027 dengan peruntukan kira-kira RM300 juta dijangka akan diumumkan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Peruntukkan berkenaan dibentangkan bagi meneruskan pelbagai inisiatif bantuan termasuk Bantuan Perumahan Kasih Johor, penyelenggaraan perumahan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.