
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Pengurusan tertinggi Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik usaha Kerajaan MADANI memperkukuh syiar Islam dan kebajikan ummah menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk peningkatan peruntukan Hal Ehwal Islam daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion.
- JAKIM menyokong usaha kerajaan memperkukuh syiar Islam dan kebajikan ummah melalui inisiatif berimpak tinggi dan pemanfaatan peruntukan.
- Pendigitalan lebih 300 sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama dengan peranti dan latihan kemahiran digital bersama MDEC menjelang 2027.
- Geran padanan sehingga RM5,000 ditawarkan kepada PMKS bagi mendapatkan sijil halal pertama dan mengembangkan perniagaan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyifatkan, peningkatan peruntukan itu sebagai amanah besar yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Ini bukanlah jumlah yang kecil dan insya-Allah, kita akan memanfaatkan peruntukan ini sebaiknya demi kemaslahatan ummah di Malaysia.
“Insya-Allah, peruntukan ini akan membuka lebih banyak ruang dan menyediakan kemudahan untuk memperkukuh syiar Islam agar terus berkembang dan mekar di bumi Malaysia,” katanya.
Selain itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail, inisiatif pendigitalan sekolah pondok dengan kerjasama JAKIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membekalkan peranti dan latihan kemahiran digitl di lwbih 300 sekolah pondok juga disambut baik.
“Ini juga merupakan satu inisiatif yang amat dinanti-nantikan. Pada tahun ini, sebanyak enam institusi pondok telah menerima peruntukan bagi tujuan pendigitalan.
“Insya-Allah, pada 2027 lebih 300 institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama akan diberi peluang untuk meningkatkan serta memperkasakan pendigitalan di institusi masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Muhyidin Aziz@Saari berpendpaat, insentif pemberian geran padanan sehingga lima ribu ringgit kepada Perusahaan Mikro,Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mendapatkan sijil halal pertama memberi khabar baik kepada golongan itu.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan PMKS mendapatkan pensijilan halal sebagai langkah awal untuk mengembangkan perniagaan mereka. Kita sedia maklum bahawa Sijil Halal Malaysia memberikan nilai tambah kepada produk dan perniagaan PMKS, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka berkembang,” katanya.