fb fb fb fb fb

Guru besar hilang wang bantuan awal persekolahan RM109,000

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Seorang guru besar kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya, di Semenyih, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 12.17 tengah hari daripada lelaki berusia 50 tahun itu.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengeluarkan wang berkenaan daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira pukul 10.00 pagi dan memasukkannya di dalam sebuah beg. Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Zaid berkata mangsa yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Semenyih, kemudian meninggalkan keretanya dan pergi ke kedai makan untuk membeli minuman.

besar(Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan)

Namun sekembalinya ke kereta, mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

Mohd Zaid berkata usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Media Baharu