fb fb fb fb fb

Kes penipuan dalam talian, lebih RM1.7 juta kerugian direkodkan - Polis Pahang

Foto Fail

KUANTAN, 8 Mei- Polis Pahang menerima empat laporan berkaitan kes penipuan dalam talian secara berasingan melibatkan dua dari daerah Raub dan baki, dari daerah Kuantan.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan, jumlah kerugian melibatkan lebih RM1.7 juta.

Kes pertama melibatkan seorang penyelia syarikat berusia 28 tahun yang berkenalan dengan seorang wanita melalui satu aplikasi pada 26 Februari lalu.

Suspek telah memperdaya mangsa dengan alasan menghadapi masalah kewangan.

Mangsa yang bersimpati telah membuat 18 transaksi kewangan ke lapan akaun berbeza secara dalam talian dan deposit tunai, berjumlah RM103,920 menggunakan wang simpanannya.

"Bagi kes kedua, seorang akauntan di syarikat swasta berusia 57 tahun telah dihubungi suspek memberitahu isterinya kini berada di hospital untuk menjalani pembedahan dan dia mahu membuat pinjaman wang pada 19 April 2025.

Mangsa telah membuat sembilan transaksi dengan bayaran terakhir ke 12 akaun melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM296,438 menggunakan wang simpanan dan pinjaman," kata kenyataan itu.

Kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki warga emas juga bekas peniaga perabot kayu ditawarkan menyertai kerja secara dalam talian dan akan mendapat komisen 13 hingga 18 peratus melalui satu laman web.

Suspek yang dikenali mangsa, turut mengajar lelaki berusia 62 tahun itu menggunakan platform tersebut.

Mangsa pernah mendapat satu kali komisyen berjumlah RM800 dan telah diminta untuk membuat bayaran lain disebabkan pembayaran lewat serta akaun disekat di platform tersebut.

Mangsa kemudian telah membuat 61 transaksi ke 14 akaun berbeza berjumlah RM1.229 juta menggunakan wang simpanan dan pinjaman.

Mangsa rasa ditipu selepas pelbagai alasan diberikan oleh pihak laman web itu untuk mengeluarkan wang dan masih diminta wang.

Kes keempat pula melibatkan penipuan pelaburan saham di media sosial pada 26 Mac lalu.

Mangsa adalah seorang lelaki berusia 43 tahun merupakan seorang jurujual.

"Mangsa diarah untuk memuat turun aplikasi pelaburan saham melalui pautan yang diberikan dan memindahkan wang ke beberapa akaun syarikat.

Mangsa kemudian telah membuat sembilan transaksi secara atas talian berjumlah RM139,200 menggunakan wang simpanan dan pinjaman.

Mangsa rasa ditipu selepas diberi pelbagai alasan ketika mahu mendapatkan semula wang pelaburannya," kata kenyataan itu.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sebelum memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali serta membuat semakan nombor akaun dan telefon yang diterima.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM