fb fb fb fb fb

Khianat dan simbah cat, empat suruhan along mengaku bersalah

Empat yang tertuduh digari menghadapi perbicaraan di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor

BATU PAHAT, 8 Mei- Empat orang suruhan ceti haram (along) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, atas enam pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat terhadap harta benda milik empat individu, bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Farah Syafiqah Abd Aziz 28 tahun, Syed Najib Syed Mohamad 33 tahun, Mohamad Redzwan Mohd Hata 30 tahun dan Cheong Wee Chien 35 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim.

Syed Najib berdepan enam pertuduhan khianat manakala Mohamad Redzwan lima pertuduhan, Nurul Farah, empat pertuduhan dan Wee Chian, tiga pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah dan menampal notis terhadap rumah dan kereta empat individu, berusia antara 28 tahun hingga 44 tahun.

Perbuatan dilakukan di sekitar Johor Bahru dan Kluang, antara 1 hingga 9 April lalu. Pendakwaan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Song Yan.

Syed Najib dibenarkan jaminan RM4,000 dan Mohd Redzwan pula RM3,000 manakala Nur Farah dan Wee Chian, masing-masing RM2,000.

29 Mei ini dan 5 Jun depan ditetapkan untuk sebutan fakta dan hukuman terhadap semua tertuduh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM