JOHOR BAHRU, 8 Mei- Sepasang kekasih nekad membahayakan diri bagi mengelak dicekup polis, apabila memandu secara berbahaya, di sekitar Johor Bahru pada awal pagi Rabu.
Tindakan mereka bagaimanapun gagal selepas dicekup polis, kira-kira satu jam kemudian dan berjaya merampas 0.45 gram dadah jenis Syabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat dalam satu kenyataan berkata kenderaan dinaiki suspek berusia 34 dan 36 tahun itu, dikesan dalam keadaan mencurigakan, kira-kira pukul 1.40 pagi.
"Suspek bertindak memecut kereta walaupun diarahkan berhenti oleh anggota kereta peronda polis.
Aksi berbahaya dengan melawan arus itu berlarutan sehingga 96 kilometer (km), sebelum kedua-dua mereka diberkas," kata kenyataan itu.
Suspek lelaki itu dilaporkan turut tidak mempunyai lesen memandu.
Siasatan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah dan narkotik, selain positif dadah Syabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 (1), 26 (1) dan Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15 (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.