KUALA LUMPUR, 26 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen penuh untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung kes Indira Gandhi, selain mempergiat usaha mengesan keberadaan anak dan bekas suaminya, Pathmanathan a/l Krishnan @ Muhammad Riduan Abdullah.
Menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, usaha menjejaki individu itu masih giat dijalankan, termasuk siasatan terhadap dakwaan kewujudan pihak yang disyaki menggunakan identiti beliau bagi tujuan menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan seperti BUDI 95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Semakan turut dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa ke atas individu berkenaan," menurut beliau dalam satu kenyataan.
Sejak tahun 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh dengan sesi seterusnya dijadualkan pada 27 Februari 2026.
PDRM menegaskan bahawa setiap tindakan dalam mengendalikan kes terbabit dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti bagi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
PDRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan suspek untuk tampil membantu menyalurkan maklumat kepada balai polis terdekat.