KUALA LUMPUR, 7 Mei - Seorang lelaki didenda RM10,000 selepas didapati bersalah memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara Kuala Lumpur di aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan tindakan denda itu dikenakan terhadap Mohamad Shafiq Abdul Halim setelah mendapat kebenaran pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang melarang penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
"MCMC turut menasihati semua pengguna media sosial agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan.
"Sebarang penyebaran kandungan berunsur jelik melampau, khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja, akan dikenakan tindakan tegas," menurut MCMC menerusi kenyataan.
Agensi itu turut menegaskan komitmennya dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni, seiring usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.