KEMAMAN, 26 November -Polis Kemaman menerima 12 laporan terhadap seorang wanita disyaki menipu melalui skim pelaburan ‘Kutu Lelong’, membabitkan kerugian RM701,000.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa berusia 21 hingga 39 tahun, disyaki ditipu sejak Julai lalu.
Laporan pertama dibuat seorang lelaki di Balai Polis Cukai pada Isnin lepas sebelum kes dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Beberapa laporan lain kemudian diterima, menjadikan jumlah keseluruhan 12 laporan sehingga semalam.
“Hasil siasatan awal, kita dapati skim pelaburan ini yang diberi nama Kutu Lelong, menjanjikan keuntungan yang cepat kepada para pelabur.
Jumlah kerugian yang kita kumpul daripada keterangan mangsa terlibat ialah RM701,000,” katanya dalam sidang media di IPD Kemaman, di sini.
Tambah beliau, setiap mangsa dipercayai melabur antara RM200 hingga RM20,000.
Polis menganggarkan sehingga 400 individu mungkin terbabit dalam skim itu.
Menurut Superintenden Mohd Razi, suspek merupakan seorang peniaga berusia 27 tahun, berasal dari daerah tersebut.
Namun, sehingga kini suspek masih belum ditahan dan dipercayai sudah meninggalkan kawasan berkenaan.
Kes turut dirujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia untuk siasatan lanjut.