fb fb fb fb fb

Polis tahan dua lelaki di Bera, rampas dadah bernilai hampir RM54,000

FOTO POLIS DAERAH BERA

KUANTAN, 27 November - Dua lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di Bera pada Rabu, dengan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM53,947.40.

Ketua Polis Daerah Bera, Penguasa Polis (Supt) Zulkiflee Nazir menerusi satu kenyataan memaklumkan, tangkapan pertama melibatkan seorang juruteknik pendawaian berusia 48 tahun di Felda Purun. Polis menemui satu ketulan mampat dibalut pita pelekat hitam disyaki ganja seberat 659.14 gram.

“Tangkapan kedua pula di Kampung Bohor Baru, melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sendiri. Polis merampas ganja seberat 1,057.64 gram dalam satu beg plastik hitam, selain 536 pil disyaki pil yaba, heroin, pil erimin 5, ganja dan syabu yang disimpan dalam beg pinggang suspek,” katanya.

Supt Zulkiflee berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan milik suspek kedua di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dianggarkan bernilai RM30,000.

Kedua-dua suspek positif dadah jenis THC dan methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah narkotik.

"Mereka kini direman hingga 2 Disember bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE