fb fb fb fb fb

Gaduh di sekolah: Lima pelajar dibuang, tiga digantung persekolahan

Foto janaan AI

SUNGAI PETANI, 28 November -Lima pelajar dibuang sekolah, manakala tiga lagi digantung persekolahan selepas didapati terbabit kes pergaduhan di sebuah sekolah menengah, di sini, Isnin lalu.

Menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, tindakan tegas itu diambil tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan dan salah laku murid.

"Pihak sekolah telah menyelesaikan siasatan dalaman secara menyeluruh dan kes kini dalam siasatan polis," menurut kenyataan JPN Kedah.

Dalam pada itu, JPN Kedah turut menasihatkan semua institusi pendidikan mematuhi prosedur disiplin, mengutamakan keselamatan pelajar serta melaksanakan intervensi pencegahan bagi mencegah insiden berulang.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas asrama sebuah sekolah dipercayai akibat dipukul sekumpulan pelajar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, empat pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun ditahan dengan seorang remaja 16 tahun direman tiga hari untuk membantu siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN