fb fb fb fb fb

Pramugara dipenjara tiga bulan, perdaya dua rakan sekerja tunjuk kemaluan

Tertuduh, Fairizuan Abd Rahman (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini diiringi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fadzil (kanan)

SEPANG, 17 Januari - Seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan tambang murah dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas membuat pengakuan bersalah memperdaya dua rakan sekerjanya untuk menunjukkan kemaluan mereka dengan alasan ia perlu bagi ujian air kencing.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman itu dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Januari lalu selepas menerima pengakuan bersalah Fairizuan Abd Rahman berusia 43 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh memperdaya dua lelaki berusia 33 dan 24 tahun dengan sengaja untuk mendorong mereka menjalankan ujian air kencing bagi tujuan pemeriksaan.

Tertuduh meminta kedua-dua pramugara terbabit memberikan gambar serta video ketika menjalankan ujian itu yang mana memaparkan kemaluan mereka.

Sekiranya mereka tidak mengikuti arahan tersebut akan menyebabkan mudarat kepada reputasinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dekat sini pada 29 November tahun lalu, pukul 9 pagi dan 7 Januari lalu, kira-kira 6 pagi.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

GRACE AISYAH KEDAYAN