fb fb fb fb fb

Kes curi kenderaan, dua penganggur diberkas

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan

SERDANG, 17 Januari- Dua penganggur yang disyaki memecah memasuki sebuah rumah dan melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Taman Muhibah, Seri Kembangan, 18 November lalu; diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata suspek berusia 44 dan 55 tahun itu ditahan di Bandar Damai Perdana, Balakong pada Isnin.

"Modus operandi yang dijalankan ialah dengan menyasarkan rumah teres atau semi d yang mempunyai kenderaan mewah yang berparkir di dalam rumah.

"Kedua-dua suspek akan memandu kenderaan dan akan berhenti di mana-mana rumah secara rawak setelah memerhatikan pergerakan orang ramai di dalam rumah tersebut.  Suspek pertama akan turun menekan loceng beberapa kali dan suspek akan pecah masuk jika didapati tiada penghuni," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihaknya berjaya menemukan Toyota Alphard yang dilaporkan hilang susulan tangkapan kedua-dua suspek itu.

Hasil soal siasat, salah seorang suspek mengaku melarikan sebuah kenderaan jenis Honda HR-V.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Mereka direman tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM