fb fb fb fb fb

Ops Tiris: 10 kertas siasatan dibuka tahun lalu

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL), Ariffin Samsudin

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka dan melibatkan 15 tangkapan warga tempatan menerusi Ops Tiris di ibu negara, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL), Ariffin Samsudin berkata, kertas siasatan dibuka berasaskan sumber risikan kementerian dengan kerjasama PDRM.

"Nilai sitaan keseluruhan barang kawalan berjumlah 135,000 liter yang berjumlah RM290,000. Manakala, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM965,000 merangkumi kenderaan, peralatan dan barang kawalan.

"Jadi sekali lagi, saya beri amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada dan pihak kami tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang subsidi', katanya dalam sidang media di sini.

Sementara itu, sebanyak 44,000 liter cecair disyaki diesel bernilai RM94,600 dirampas dalam Operasi Membanteras Penyelewengan Diesel Bersubsidi (Ops Tiris 3.0), di sebuah premis di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang dipercayai stor haram, pada 10 Januari lalu.

Operasi melibatkan 10 pegawai KPDN WPKL dan anggota PDRM itu, berjaya merampas serta menyita barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000 serta menahan lima lelaki warga tempatan, empat daripadanya pemandu lori dan seorang pekerja stor.

Ariffin memaklumkan, berdasarkan hasil semakan dan risikan awal premis tersebut tidak memiliki sebarang lesen atau permit serta baru beroperasi sekitar pertengahan bulan Disember tahun lalu.

Modus operandi menggunakan taktik pembelian diesel yang dilakukan lori-lori 'bonded' secara berulang, melibatkan 20 buah stesen minyak sekitar Ampang, Selangor.

"Diesel yang dibeli akan dikumpulkan di lokasi tempat kejadian sebelum dipindahkan ke lori tangki yang datang ke stor berkenaan dan akan dihantar ke luar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Dan kita syaki ini dilakukan secara sindiket sebab 'volume' dia adalah satu 'volume' yang besar dan dengan premis yang baru sahaja dibuka, modus operandi  sudah nampak mahir. Tapi nasib dia tidak baiklah, Polis Bukit Aman lagi cekap, dapat detect awal", katanya dalam sidang media di sini.

Turut disita empat buah motolori lima tan, dua buah tangki skid berkapasiti 20,000 liter setiap satu, 40 unit tangki IBC, lima unit pam penyedut beserta hos dan 44,000 liter cecair disyaki diesel.

Kelima-lima lelaki yang ditahan berusia dalam lingkungan 35 hingga 60 tahun itu. Bagaimanapun suspek dilepas dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa memiliki lesen sah dan menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

ROSLINA BINTI DIN