fb fb fb fb fb

Dua warga Pakistan ditahan terlibat kes samun, rogol

Asisten Komisioner AA Anbalagan

SERDANG, 17 Januari- Dua lelaki warga Pakistan yang dipercayai terbabit kes samun dan rogol ke atas seorang wanita pada Ahad lalu di sekitar jejantas stesen KTM Serdang ditahan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata suspek pertama berumur 29 tahun disyaki menyamun seorang wanita di jejantas KTM Serdang pada 30 Dis lepas, manakala suspek kedua berumur 23 tahun disyaki menyamun dan merogol seorang wanita berumur 29 tahun di sekitar kawasan sama pada 14 Jan lepas.

Penahanan suspek kedua dilakukan susulan laporan mangsa 29 tahun mendakwa telah dirogol dan disamun seorang lelaki ketika melalui jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, Ahad lalu.

"Mangsa telah disamun dan dirogol serta telefon bimbit mangsa dilarikan. Suspek tersebut mengacukan pisau untuk menakutkan mangsa yang melalui kawasan tersebut untuk pulang ke rumah," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang di sini.

Sementara itu dalam kejadian samun yang dilakukan suspek pertama pada 30 Disember lalu menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua buah telefon bimbit selain mengalami kecederaan di jari kanan.

Bagaimanapun kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu mengaku terbabit dalam kedua-dua jenayah terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) )c) Akta Imigresen 1959/63.

Suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI