fb fb fb fb fb

Anggota polis dipercayai kasari orang awam ditukar serta-merta - KP Johor

Syot layar tular rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan seorang individu dipercayai pegawai polis menggunakan kekerasan di tempat awam terhadap orang awam

JOHOR BAHRU, 12 Januari - Seorang anggota polis yang video rakamannya tular kerana mengasari orang awam ditukarkan serta-merta ke bahagian lain.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung video tular dipercayai ketua polis di salah sebuah balai di negeri ini.

“Pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan terperinci, siasatan dalaman sedang dilakukan memandangkan video itu baharu saja tular hari ini.

"Kejadian itu berlaku pada bulan April tahun lalu terhadap suspek kes pecah kedai makan dan curi," katanya ketika dihubungi RTM.

Katanya, anggota terbabit ditukarkan ke jawatan yang tidak berurusan dengan orang awam.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan seorang individu dipercayai pegawai polis menggunakan kekerasan di tempat awam terhadap orang awam.

Video itu dimuat naik melalui akaun Facebook turut memetik nama dan jawatan pegawai polis berkenaan.

Orang awam atau saksi diminta untuk membuat laporan jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

"Tindakan mengikut undang-undang akan di ambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN